oleh Zukri Akashah
KALAU ada orang Malaysia mengatakan bahawa Malaysia tidak boleh maju dengan budaya Melayu, tidak boleh maju dengan bahasa Melayu, mesti dengan bahasa Inggeris, maka orang itulah yang akan saya persalahkan bila dikatakan pemikiran orang kita tidak pernah maju-maju walaupun prasarana di sekelilingnya sudah berada di kelas nombor satu.
Saya tidak nafikan kepentingan bahasa Inggeris, saya juga bersetuju bahawa adalah sesuatu yang bagus untuk menguasai bahasa asing seperti bahasa Inggeris yang digunakan secara meluas di seluruh dunia.
Saya tidak menghalang kalau ada orang mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Tetapi kalau saya ke Jepun untuk menyambung pelajaran, saya akan terpaksa belajar bahasa Jepun, tidakkah bahasa Jepun juga bahasa ilmu? Jika saya ke Jordan menyambung pelajaran, saya akan terpaksa belajar bahasa Arab, tidakkah bahasa Arab juga bahasa ilmu? Andai saya ke Jerman untuk belajar kejuruteraan, saya terpaksa belajar bahasa Jerman, tidakkah bahasa Jerman juga bahasa ilmu?
Yang paling penting, jika seorang Rusia datang ke Malaysia untuk menyambung pelajaran, tidakkah dia perlu belajar bahasa Melayu? Maka bukankah bahasa Melayu juga bahasa ilmu?
Orang yang begitu mempertahankan dasar PPSMI mendakwa kononnya jika PPSMI dimansuhkan, ia akan memberi masalah kepada anak-anak kita untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, bukankah banyak sumber rujukan dalam bahasa Inggeris? Orang begini boleh mempersoalkan pula sampai bila kita mahu bergantung kepada penterjemah?
Saya kasihankan orang sebegini. Ternyata dia terlalu berkiblatkan British dan Amerika Syarikat, walaupun pernah hidup di era Dasar Pandang ke Timur. Sudah berapa ramai negara kita menghantar pelajar ke negara-negara seperti Jepun, Rusia, China, Jerman dan Perancis?
Tidak pernah pula saya dengar mereka ini di waktu persekolahannya belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Jepun, Rusia, China, Jerman atau Perancis. Mereka lulus juga, cemerlang juga, pulang ke Malaysia menabur jasa dan bakti.
Orang yang mempersoalkan kebergantungan masyarakat kepada kerja-kerja terjemahan adalah orang yang buta tamadun. Bukankah tamadun Islam bangkit dan berkembang akibat rancaknya aktiviti-aktiviti terjemahan karya filusuf terdahulu seperti Aristotle dan Plato.
Bukankah Barat bangun dari kegelapan dan membina zaman kebangkitannya hasil dari terjemahan karya-karya sarjana Islam sebelumnya? Dan bukankah juga agama Islam sendiri berkembang kerana masyhaf Quran telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa?
Lemahnya penguasaan bahasa Inggeris di kalangan kita bukan kerana melayunya mata pelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah. Anak-anak kita sudah belajar bahasa Inggeris dari Tahun Satu ke Tahun Enam, dari Tingkatan Satu ke Tingkatan Lima.
Waktu saya dahulu, selain subjek bahasa Inggeris biasa, pelajar juga dibenarkan mengambil English 1119 dalam peperiksaan SPM. Hari ini pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke universiti tempatan pun mesti menduduki peperiksaan MUET. Tidak cukup lagikah pendedahan bahasa Inggeris untuk mereka?
Bagi saya yang salah bukan bila masyarakat menolak dasar PPSMI, tetapi jika benar penguasaan bahasa Inggeris secara umumnya memang lemah di kalangan pelajar kita sejak dahulu, maka yang harus dipersoalkan ialah bentuk latihan yang diberikan kepada guru-guru bahasa Inggeris, dari peringkat sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah. Silibus dan kaedah latihan guru-guru bahasa Inggeris di maktab-maktab perguruan harus dikaji dan digubal semula, juga semakan turut perlu dibuat terhadap kriteria pemilihan calon-calon guru bahasa Inggeris tersebut.
Ingatlah akan pesan jauhari dahulu-kala, bahawa bahasa itu jiwa bangsa. Maka bagi bangsa Malaysia yang berbahasa rasmikan bahasa Melayu, bahasa Melayu itulah jiwanya. Hari ini kita sedang menggunapakai satu proses indoktrinisasi yang sesat.
Kita bukan sahaja sedang "membasuh minda" anak-anak kita supaya membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris, tetapi juga mengira dan berteori dalam bahasa Inggeris, lebih parah daripada itu, anak-anak kita ditekan supaya berfikir dan bermimpi dalam bahasa inggeris. Lebih tepat bangsa Malaysia sedang diinggeriskan bahasanya.
Lalu, bila proses indoktrinisasi sesat ini selesai dan berjaya, bangsa Malaysia akan muncul sebagai bangsa yang tiada jiwa. Orked Abdullah adalah seorang Inggeris yang dibesarkan dengan bahasa dan budaya Melayu, jiwa inggerisnya telah mati. Dian P. Ramlee adalah seorang Cina yang dibesarkan dengan bahasa dan budaya Melayu, jiwa Cinanya telah mati.
Dalam konteks pendidikan, ada orang kita yang memilih untuk menolak sistem persekolahan kebangsaan dan mengikuti sistem persekolahan luar yang kononnya internasional. Maka mereka membesar dengan asuhan bahasa asing, pemikiran dibentuk dengan bahasa asing, pergaulan berasaskan bahasa asing, jiwa Malaysia mereka pun mati!
Walau bagaimanapun sosok fizikal mereka masih Malaysia, spesifiknya masih Melayu, kekadang mereka masih mahu bermelayu lewat acara-acara adat dan ritual seperti kenduri kesyukuran dan sebagainya. Tetapi kenduri kesyukuran (yang sepatutnya kita boleh gambarkan aturannya) di tangan mereka menjadi garden style, ada tari-menari. Ahhh… kacau!!!
Kabinet akan membuat keputusan dalam masa terdekat ini sama ada akan meneruskan atau memansuhkan dasar PPSMI. PPSMI dilaksanakan pada waktu negara jiran kita Singapura, yang berbahasa utamakan bahasa inggeris sudah mula berusaha memartabatkan bahasa Mandarin, pada waktu kuasa besar dunia, Amerika Syarikat yang juga berbahasa inggeris, sedang berada di ambang kejatuhan akibat masalah ekonomi dan kewangan yang serius.
PPSMI juga dilaksanakan jauh selepas Empayar British, tonggak bahasa inggeris dunia sudah hanya tinggal nama. Kita bukan melangkah, kita sedang mengundur, bahkan semakin hari semakin ke belakang.
Kalaulah Muhyidin bertanya saya apa keputusan yang patut dibuat, saya tidak perlu berfikir dan termenung untuk menjawab batalkan sahaja, batalkan sebelum terlambat, batalkan sebelum bangsa Malaysia mati jiwanya. TERIMA KASIH
Dewan Ulama Pas - Tolong-tolong perati gambar ni...
-
Dah agak lama aku tak merapu merepek hal ehwal Pas, bukan tak ada isu,
banyak,, tetapi rasa dan meluat dah dengan gelagat segelintir pimpinan
Pas... entahl...
8 years ago
No comments:
Post a Comment